KUCHING, 03 JUN 2021 (SNN) : Umum kita ketahui negara India sejak beberapa bulan lalu merekodkan jangkitan harian Covid-19 yang tinggi sehingga mencatatkan kes kematian ratusan orang setiap hari yang berpunca daripada aktiviti sosial dan keagamaan.
Angka kematian yang terus meningkat di India memaksa mayat-mayat dibiarkan bergelimpangan di tepi jalan kerana upacara membakar mayat tidak mampu lagi diurus oleh rakyat negara itu. Sesetengahnya bertindak membuang mayat berkenaan ke dalam Sungai Gangga dan dihanyutkan begitu sahaja.
Berita ini tular sehingga salah seorang pengguna laman sosial di negara ini mendakwa nelayan diperairan negara ini menjumpai mayat seorang lelaki yang dipercayai mangsa Covid-19 yang hanyut dari Lautan Hindi. Perkongsian disertakan beberapa gambar oleh individu berkenaan mengatakan mayat yang sudah reput itu adalah dari India dan hanyut ke perairan Sabah.
Namun, sejauh manakah keberanan perkongsian lelaki berkenaan yang dianggap boleh mencetuskan panik dalam kalangan pengguna laman sosial yang lain melihatnya. Menerusi beberapa komen individu lain yang membidas perkongsian lelaki berkenaan, gambar yang tular itu bukanlah mayat mangsa Covid-19 yang dibuang di laut India dan hanyut ke perairan Malaysia. Malah, gambar berkenaan adalah kejadian penemuan mayat seorang pemancing yang hilang ditengah laut pada tahun 2014 lalu di Kuala Besut, Terengganu.
Jelasnya, Maklumat yang dikongsikan oleh individu terbabit adalah tidak benar dan seolah-olah sengaja menimbulkan panik lebih-lebih lagi seluruh dunia masih dilanda wabak Covid-19. Maklumat yang dikongsi haruslah diteliti terlebih dahulu sebelum dikongsikan supaya tidak menimbulkan fitnah dalam kalangan pengguna laman sosial yang lain.