DEMAK LAUT, 01 APRIL 2021 (SNN) : Penjanaan ekonomi masyarakat setempat kebanyakannya adalah melalui aktiviti berniaga dan usahawan kecil-kecilan dan usaha ini amat diberi perhatian oleh ADUN Demak Laut melalui pelaksanaan program pensijilan pembuatan makanan sebagai usaha membantu mereka menjana pendapatan sendiri dengan menghasilkan produk makanan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, menceburi bidang pembuatan makanan terutama roti, kek dan usahawan ini sinonimnya berkait dengan golongan wanita namun kali ini penganjuran Kursus Pensijilan Aneka Roti turut menarik minat daripada golongan bapa yang membuktikan bahawa bidang itu tidak ditentukan berdasarkan jantina dan usia.
“Sebelum ini kita melihat kaum ibu dan wanita serta belia dari kawasan Demak laut menyertai kursus pembuatan kek dan gubahan tetapi kali ini kita sendiri saksikan kaum bapa dari Kampung Tabuan Hilir tidak lepaskan peluang menimba ilmu dalam pembuatan roti yang membuktikan bidang ini tidak semestinya sinonim dengan kaum wanita sahaja.
“Tidak hanya itu, mereka yang menyertai kursus ini akan mendapat sijil yang diiktiraf dan ianya boleh digunakan untuk menjadi usahawan yang mengeluarkan produk roti mereka sendiri disamping menjana pendapatan dari rumah memandangkan sekarang ini negara masih dilanda pandemik Covid-19,” kata beliau ketika diminta mengulas mengenai Kursus Pensijilan Aneka Roti yang diadakan di Kolej Komuniti Santubong pada Ahad.
Tambah beliau, kursus pensijilan ini merupakan inisiatif daripada Pusat Khidmat DUN Demak Laut yang diadakan setiap minggu sebaik sahaja aktiviti pembelajaran dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi membantu masayrakat di sekitar DUN ini boleh menjana ekonomi tambahan.
“Sepanjang pelaksanaaan program seperti ini kita dapat melihat seramai 28 buah kampung yang terdiri daripada wanita, belia dan kaum bapa menyertainya dalam pelbagai bidang di Kolej Komuniti Santubong,” jelas beliau lagi.
Ujarnya, dengan adanya program seperti ini ditambah lagi dengan situasi pandemik diharapkan dapat membantu para peserta menjana ekonomi sampingan mahupun menjadi sumber ekonomi utama dengan menghasilkan produk jualan masing-masing dan juga menggunakan laman media sebagai platform untuk memasarkan produk.