KUCHING: Suara Sarawak melaporkan Kolej Universiti i-CATS kini secara rasmi berstatus universiti penuh selepas institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak itu memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan tersebut menjadikan Sarawak kini memiliki dua universiti penuh, sekali gus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negeri ini.
“Kita menerima keputusan daripada KPT yang memaklumkan Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menaikkan taraf Kolej Universiti i-CATS yang telah memenuhi syarat-syarat sebagai sebuah universiti penuh. Sudah tentu ini memberi suntikan besar kepada Sarawak yang kini mempunyai dua universiti penuh termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT) 2026, di sini, hari ini.
Ujarnya, pengiktirafan sebagai universiti penuh itu akan membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang strategik yang diperlukan negeri.




