KUCHING: Bakat anak-anak Sarawak perlu dipersiapkan untuk bersaing di peringkat serantau dan global sejajar dengan kemunculan ekonomi baharu yang membuka peluang lebih luas merentasi sempadan negeri dan negara khususnya dalam sektor tenaga.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, negeri ini akan memainkan peranan sebagai salah satu pusat strategik di Asia yang tidak lagi terhad kepada Malaysia sahaja.
“Kita kini melihat kepada ekonomi ASEAN, iaitu melibatkan 11 negara di rantau ini dan negara yang paling hampir dengan kita ialah Indonesia, Singapura dan Brunei. Jika kita meneliti jumlah penduduk serta pasaran di negara-negara tersebut, ia merangkumi sekurang-kurangnya lebih 300 juta penduduk.
“Seterusnya, Sarawak akan menjadi tumpuan dalam pasaran baharu ini dan kita tidak lagi hanya bergantung kepada pasaran berjumlah 2.8 juta penduduk,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis pelancaran ‘Sarawak Career and Training Fair’ (SCaT Fair) 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu katanya, usaha kerajaan mengambil alih syarikat penerbangan sendiri, AirBorneo bertepatan dengan usaha ini untuk memastikan mempunyai hubungan yang lebih luas dengan dunia luar.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Datuk Len Talif Salleh, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu lain. SUMBER: EDISI UKAS




