KUALA LUMPUR: UKAS melaporkan peluang kerjasama Malaysia-Jepun berpotensi untuk diperluaskan apabila kedua-dua negara dilihat mempunyai potensi besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi masa depan menerusi kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur digital.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, hubungan erat yang terjalin sejak pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur telah meletakkan Jepun sebagai antara rakan strategik paling penting kepada Malaysia, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk memperluaskan kerjasama dalam sektor-sektor ekonomi masa depan.
Jelas beliau, sumbangan Jepun bukan sahaja melalui pelaburan dan teknologi, malah melalui nilai disiplin, inovasi dan komitmen jangka panjang yang turut menyokong pembangunan negara.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan ‘Malaysia–Japan Legal & Business Forum 2026’ serta pelancaran rasmi kerjasama strategik antara ‘RDS Advocates & Solicitors dan Anderson Mori & Tomotsune’, di sini, pada Khamis.
Menyentuh mengenai forum tersebut, beliau memberitahu ianya menghimpunkan pemimpin industri, komuniti perniagaan dan pengamal undang-undang dari Malaysia dan Jepun bagi meneroka peluang kerjasama yang mampu memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global, cabaran rantaian bekalan, peralihan tenaga dan transformasi digital, beliau berkata Malaysia kekal komited menyediakan persekitaran perniagaan yang stabil, telus dan mesra pelabur.
Sehubungan itu, beliau yakin hubungan Malaysia-Jepun akan terus berkembang sebagai model kerjasama strategik yang bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi, malah menyumbang kepada kemakmuran serantau yang lebih mampan dan berdaya tahan. SUMBER: EDISI UKAS




