MASIH ADA LAGI orang bertanyakan apakah dan mengapakah warga Malaysia merayakan tiga tarikh ini. Semua tarikh ini begitu dekat di antara satu dengan yang lain dalam urutan bulan yang selari. Pada tahun 1963 yang penuh peristiwa bersejarah itu Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah, para pemimpin dan rakyat sibuk, berdebar, menantikan tarikh-tarikh tersebut.
Lebih-lebih lagi apa bila 31 Ogos, Hari Merdeka dibatalkan gara-gara Open Market, tempat penduduk bandar Kuching makan dan lepak telah dibom komunis, CCO (Communist Clandestine Organization) pada malam 30 Ogos. (Saya telah menjalankan penyelidikan dengan membaca akhbar Utusan Sarawak dan Sarawak Tribune pada tahun 1974 yang disimpan di Jabatan Muzium Sarawak untuk tesis MA, UM).
22 JULAI 1963, Gabenor Kolonial British melantik Kabinet Negeri Sarawak dengan Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya. Kerana kuasa penjajah yang melantik maka taraf Negeri Sarawak hanya berubah daripada sebuah tanah jajahan penuh kepada tanah jajahan bertaraf BERKERAJAAN SENDIRI, SELF-GOVERNMENT dan bukan merdeka atau independence (Baca Sarawak Government Gazette – warta kerajaan- 22 Julai 1963).
31 OGOS 1963, Parlimen Britain, Parlimen Malaya, Parlimen Singapura, Council Negeri Sarawak dan Dewan Undangan Sabah meluluskan rang undang-undang pengisytiharan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Bagaimanapun Indonesia dan Filipina telah membantah penubuhan Malaysia di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dengan itu pengisytiharan negara baharu Malaysia, telah ditangguhkan untuk PBB membuat tinjauan suara rakyat Sarawak dan Sabah. Di samping itu, komunis di Sarawak semakin menganas.
16 SEPTEMBER 1963, PBB telah menubuhkan UNMM (United Nation Malaysia Mission) telah diberi tempoh 20 hari untuk menjalankan pungutan suara mulai 16 Ogos 1963 hingga 5 September 1963. Council Negeri meluluskan usul Malaysia dengan 5 undi menentang pada 4 September. 13 September 1963, UNMM melaporkan “a sizeable majority of the population” setuju dengan pembentukan Malaysia. Maka lahir Malaysia.
NIAT DIHATI RAKYAT PADA MASA ITU MENGHENDAKAN MALAYSIA LAHIR PADA 31 OGOS 1963 tetapi apakan daya terdapat tentangan dari dua negara jiran dan ancaman komunis Sarawak. Begitulah hakikat manusia merancang, Allah SWT menentukan dengan hikmah yang tersembunyi. Itulah takdir. Dalam ilmu sejarah ini konsep inevitability, sejarawan pun tidak dapat membahaskannya lagi.
Kita redha, dan menghormati serta menghargai tindakan dan keputusan yang dibuat oleh pemimpin kita 62 tahun yang lalu. Mereka telah melalui masa genting dan penting untuk kita hari ini. Kita rayakan sahaja tiga tarikh tersebut.
SELAMAT HARI MALAYSIA!!!