Pakar-Pakar Bahasa UNIMAS dan Antarabangsa di Persidangan Antarabangsa Penterjemahan (PPA)

0
218

KUCHING, 19 Ogos: Persidangan Antarabangsa Penterjemahan (PPA) memulakan hari pertama dengan ucapan perasmian oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Persidangan ini akan bermula dari 19 hingga 21 Ogos di Hotel Riverside Majestic, Kuching.

Dalam ucapan tersebut, Premier memuji usaha UNIMAS melalui Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi yang menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama Persatuan Penterjemahan Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) untuk membawa persidangan antarabangsa ke Bumi Kenyalang.

Ujar beliau, “Penterjemahan kini dilihat sebagai pemacu utama dalam membangunkan ekosistem ekonomi berasaskan pengetahuan di Sarawak, khususnya dalam sektor ekonomi digital dan industri kreatif.

Beliau berharap hala tuju UNIMAS yang berusaha untuk memperkembangkan kepakaran penterjemahan akan menjadi pusat kecemerlangan penting dalam memperkukuh daya saing Sarawak di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kerajaan Sarawak komited memajukan bidang pendidikan dan penyelidikan, termasuk bahasa serta terjemahan. Kita menubuhkan pelbagai institusi dan memperkukuh kerjasama dengan universiti seperti UNIMAS bagi memastikan pembangunan ilmu dapat dinikmati rakyat.

Beliau turut mengalu-alukan sebarang pelaburan dalam bidang penterjemahan, latihan penterjemah profesional dan teknologi linguistik yang akan menjadi infrastruktur intelektual yang menyokong kemajuan Sarawak dalam pelbagai sektor.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam ketika merasmikan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-20, di sini, hari ini.

“Dengan kepelbagaian bahasa, dialek dan pertuturan di Sarawak, ia menjadikan negeri ini lokasi paling tepat untuk penganjuran kali ini yang mengangkat tema ‘Pemeliharaan Warisan melalui Terjemahan’ – Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Hj. Ahmad Hata Rasit

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr. Hj. Ahmad Hata Rasit berkata, penganjuran Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-20 di negeri ini amat bertepatan.

Persidangan tersebut menampilkan empat pembentangan kertas dasar, lima sesi pleno bersama-sama pakar penterjemahan budaya serta satu bengkel khas dan forum melibatkan Majlis Dekan-dekan Bahasa Universiti Awam, Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia dan Wikimedia Malaysia.

Turut diadakan ialah pembentangan sebanyak 64 kertas kerja merentasi lima sidang selari, dengan penyertaan lebih 250 peserta dari Malaysia, China, Singapura, Norway, Itali, Korea, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Tetamu-tetamu kenamaan, wakil agensi dan persatuan serta pada peserta bergambar kenang-kenangan.

Selain pengisian ilmiah, persidangan bertujuan untuk mencapai empat objektif utama iaitu memupuk pertukaran ilmu, gagasan dan pengalaman antara ilmuwan, ahli bahasa, penterjemah dan pelajar dari seluruh dunia dalam usaha meningkatkan kualiti terjemahan dan interpretasi.

Leave A Reply

Please enter your comment!
Please enter your name here