KUCHING, 23 JANUARI 2025: Sarawak berada pada kedudukan yang kukuh untuk memimpin dalam menangani perubahan iklim, dipandu oleh komitmen terhadap pembangunan lestari dan pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dengan autonomi dalam alam sekitar hasil daripada rundingan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 yang diluluskan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) membolehkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) mengambil alih tanggungjawab alam sekitar daripada Jabatan Alam Sekitar Persekutuan.
Ujarnya, peralihan tadbir urus ini adalah titik perubahan yang memberikan kerajaan Sarawak kuasa untuk merangka dan melaksanakan dasar alam sekitar yang disesuaikan dengan keperluan dan cabaran unik di wilayah ini.
“Kita adalah peneraju. Dengan rangka kerja yang disediakan oleh MA63 dan Ordinan Alam Sekitar (Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2024, kita dilengkapi untuk memacu pertumbuhan ekonomi, kelestarian dan perlindungan warisan kita.
“Untuk memastikan pelaksanaan tanggungjawab ini dengan berkesan, kerajaan Sarawak komited untuk menyediakan NREB dengan sumber yang mencukupi, sokongan pembangunan kapasiti, dan alat canggih bagi melaksanakan tugas-tugas kritikal ini dengan cemerlang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Premier Sarawak Environmental Award (PSEA) 2023/2024 di sebuah hotel terkemuka, pada Rabu.
Tambah beliau, hasil utama dari COP29 di Baku adalah termasuk memperkukuh komitmen terhadap penetapan harga karbon, pembiayaan infrastruktur hijau dan meningkatkan pelaburan dalam teknologi lestari.
Justeru katanya, Sarawak sejajar dengan matlamat global ini dengan memajukan penyelesaian tenaga bersih seperti hidroelektrik, solar dan hidrogen.
“Kami juga memimpin dengan Ordinan Gas Rumah Hijau (GHG) dan mempromosikan amalan lestari untuk menangani perubahan iklim dan memacu pertumbuhan jangka panjang,” jelasnya.
Turut hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah; Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak; Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta dif-dif kenamaan yang lain-UKAS