KUCHING, 10 JANUARI 2025: Kelulusan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) baharu semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada bulan Mei dan November tahun lalu telah memberi kesan yang besar terhadap landskap perundangan wilayah ini.
Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali memberitahu, antara kelulusan RUU yang memberi kesan besar adalah Ordinan Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024, Pindaan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 dan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 yang mana akan memudahkan Sarawak secara keseluruhannya untuk mengurus perkara-perkara yang termaktub di bawah ordinan masing-masing.
Mengambil contoh katanya, Ordinan Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024 yang sekaligus telah menggantikan Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961 yang telah digunakan selama enam dekad.
“Ordinan ini adalah undang-undang transformasi yang bertujuan memodenkan tadbir urus dan operasi pelabuhan di seluruh Sarawak melalui rangka kerja bersatu yang menyelaraskan pengurusan, menyeragamkan dasar, dan meningkatkan kecekapan operasi dengan penubuhan Lembaga Pelabuhan Sarawak sebagai badan pengawal selia pusat,” jelasnya.
Beliau berkata sedemikian semasa berucap dalam Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2025 di Hikmah Exchange di sini pada Jumaat.
Menurut beliau lagi, penggubalan ordinan ini bukti visi Sarawak untuk memanfaatkan kedudukan geografi strategik wilayah ini dan kekayaan sumber semula jadinya untuk membina ekosistem pelabuhan yang berdaya saing dan mampan.
Dalam pada itu, Dato Sri Saferi menambah, kejayaan Sarawak meluluskan dua lagi ordinan iaitu Pindaan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 dan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 merupakan deklarasi yang berani tentang visi Sarawak untuk mewujudkan masa depan yang mampan.
“Sepanjang tahun 2024 ini sahaja, Sarawak mencapai pencapaian penting lain dalam perjalanan tenaga bersihnya dengan pindaan kepada Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016, menjadikannya negeri pertama di Malaysia yang secara khusus mengawal aktiviti dan perkara yang melibatkan hidrogen.
“Inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mempromosikan tenaga hijau dan ekonomi mampan diperkukuhkan lagi dengan penggubalan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 menggantikan undang-undang lama iaitu Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar, dengan menyediakan peruntukan yang lebih baik untuk memulihara, mengurus, dan meningkatkan sumber semula jadi serta alam sekitar, mengawal pencemaran, dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya,” jelasnya lagi.
Di kesempatan itu juga, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Peguam Negara Persekutuan (AGC) yang telah membantu Sarawak mendapatkan semula hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuklah pemindahan hak Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak.
Ujarnya, kerjasama ini telah menjadi pemangkin utama dalam usaha Sarawak untuk mendapatkan kembali hak-haknya di bawah MA63.
Turut hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Hakim Negara; Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia; Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak; Tan Sri Abdul Rahman Sebli, Hakim Besar Malaya; Dato Sri Hasnah Dato Mohammed Hashim, Peguam Negara; Dato Mohd Dusuki Mokhtar, dif-dif kenamaan serta pengamal undang-undang yang lain-UKAS