KUCHING, 27 SEPTEMBER 2024: Pembangunan negeri Sarawak ke arah negeri maju adalah seimbang dengan menjaga kelestarian alam sekitar.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, pembangunan yang seimbang memerlukan penyelesaian yang inovatif bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh pusat bandar dan komuniti luar bandar Sarawak.
“Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 kita menekankan kemampanan alam sekitar, daya tahan ekonomi dan keterangkuman sosial.
“Teknologi geospatial adalah kunci untuk mencapai matlamat ini, menyediakan alat untuk mengurus sumber negeri dengan bijak, mengurangkan kesan perubahan iklim dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Sarawak, tidak kira di mana mereka tinggal,” Katanya menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh pada Majlis Makan Malam GeoWeek 2024 di sebuah hotel pada Khamis.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, kuasa inovasi geospatial terletak pada keupayaannya untuk mencipta cerapan dipacu data yang bermakna yang memberi manfaat kepada kawasan luar bandar dan bandar.
“Di kawasan bandar, ia meningkatkan pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan perkhidmatan awam manakala di kawasan luar bandar, ia meningkatkan akses kepada sumber penting, memelihara persekitaran semula jadi kita dan menyokong perancangan berasaskan komuniti,” ujarnya.
Difahamkan, Persidangan GeoWeek 2024 yang bertemakan ‘Geospatial Innovation for Sustainable Rural and Urban Development’ itu menarik penyertaan seramai 250 peserta dari 25 negara.
Turut hadir sama ialah Pengerusi Persidangan GeoWeek 2024; Profesor Dr Alias Abdul Rahman serta Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak; Awang Zamhari Awang Mahmood-UKAS