AUSTRALIA, 26 OGOS 2024 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi mengetuai rombongan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak ke Australia dalam Misi Kajian Sarawak mengenai Penyimpanan Tenaga Hidro Pam.
Sesi penglibatan itu dilakukan bersama Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia (DFAT) dan Universiti Kebangsaan Australia yang turut disokong oleh Perkongsian Australia untuk Infrastruktur.
Dato Sri Julaihi dalam kenyataannya mendedahkan, kunjungan rombongan dimulakan dengan ucapan aluan daripada Penolong Setiausaha, Cawangan Maritim Asia Tenggara, DFAT Australia, Jane Duke yang turut menyatakan kerjasama kukuh antara Malaysia-Australia khususnya Sarawak mengenai perubahan iklim.
Dalam ucapannya, Duke memberitahu beliau kagum dengan langkah diambil oleh Kerajaan Sarawak ke arah mewujudkan tenaga hijau dan kemajuan yang telah dicapai oleh Sarawak dengan dasar-dasar yang kukuh.
“Dalam sesi penyelidikan awal yang saya lakukan mendapati Sarawak mempunyai potensi PHES yang kukuh, yang boleh menjadi sebahagian daripada tumpuan ke arah penyelesaian tenaga hijau dan boleh diperbaharui.
“Melihat kesungguhan Kerajaan Sarawak ini, harapan saya agar dapat terus berkongsi dan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam mewujudkan cita-cita tersebut,” katanya.
Manakala dalam ucapan perasmian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada DFAT dan P4I yang telah menganjurkan misi kajian PHES ini.
Bercakap mengenai perjalanan Sarawak ke arah peralihan tenaga, beliau menambah, Sarawak akan mempelajari daripada pengalaman Australia khususnya mengenai peranan PHES serta pertimbangan teknikal, pasaran dan strategi yang relevan.
“Saya turut menekankan kepentingan dasar dan kawal selia yang baik mampu menarik lebih banyak pelaburan dan langkah ini turut bertepatan dengan misi Sarawak menjana 10 Gigawatt tenaga menjelang tahun 2030.
“Harapan saya juga adalah agar kerjasama antara Sarawak dengan Australia dalam industri dapat dikukuhkan dan lebih meluas dan inisiatif tenaga,” ujar beliau dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengarah Bekalan Elektrik dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Tenaga Sarawak, Ir. James Ung berkata, Sarawak Energy merancang untuk terus membuat pelaburan kukuh dalam tenaga hidro sambil mempelbagaikan sumber boleh diperbaharui alternatif lain, seperti solar berskala besar.
Beliau menjangkakan PHES mampu diserlahkan dengan prospek menggandingkan teknologi PHES dengan pemasangan solar terapung, yang mana Sarawak Energy mampu memaksimumkan potensi sumber kuasa hidro sedia ada di Sarawak.
Untuk makluman, Program Misi Kajian itu nanti akan diteruskan dengan dialog dasar mengenai peralihan dan penyimpanan tenaga, memfokuskan pada strategi Pelepasan Sifar Bersih Australia, pertimbangan ESG, dan daya tahan projek PHES; serta perbincangan teknikal yang dihoskan oleh ANU, melibatkan pembangun, pengendali dan jurutera utama.
Perkongsian untuk Infrastruktur (P4I) juga merupakan inisiatif Kerajaan Australia yang bekerjasama dengan Asia Tenggara untuk memupuk pertumbuhan inklusif melalui infrastruktur ekonomi yang mampan.
Turut hadir sama ialah Pengarah, Bahagian Iklim dan Tenaga, DFAT Australia; Andrew Edge, Pakar Peralihan Tenaga P4I & EY, Rakan Kongsi Bersekutu – Peralihan Tenaga; Russell Marsh, Profesor Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Australia; Dr Andrew Blakers, Prog Kanan. Pengurus untuk P4I, daripada Suruhanjaya Tinggi Australia ke Malaysia; Michael Ting, dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian MUT; Syed Mohamad Fauzi Sahab