KUCHING, 25 OGOS 2024: Para majikan tidak mengira syarikat, organisasi mahupun individu perlu menjaga hak pekerja mereka dengan menjauhi daripada melakukan perkara yang melanggar hak mereka sebagai seorang manusia dan pekerja.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, mereka yang bergelar majikan haruslah sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Tenaga Kerja negeri untuk mengetahui bentuk-bentuk pelanggaran hak pekerja agar ianya tidak berlaku baik disedari mahupun tidak disedari.
“Ini merupakan perkara asas yang perlu mereka ketahui dan fahami kerana kadang-kadang mereka tidak sedar mereka mengambil pekerja tetapi melanggar hak mereka seperti menahan gaji mereka, tahan passport mereka, tahan kebebasan mereka dan sebagainya.
“Tanpa kita sedari, sebenarnya ini merupakan hak asasi mereka yang perlu kita lindungi tanpa mengira mereka itu majikan individu apatah lagi syarikat dan sebagainya,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, pada Ahad.
Mengulas lebih lanjut, beliau menegaskan majoriti aduan yang diterima di negara ini adalah masalah berkaitan dengan pembayaran gaji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak diberikan kepada pekerja.
“Undang-undang di negara kita tidak hanya melindungi warganegara malah ianya melindungi semua individu yang bergelar manusia.
“Selama mana individu tersebut dikategorikan sebagai manusia, baik dia warganegara mahupun buruh pendatang pun kita perlu jaga hak mereka,” jelas beliau lagi.
Dalam majlis yang sama, Dato Sri Fadillah memberitahu bahawa Malaysia telah dinaik taraf ke Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai buruh paksa.
Ini jelasnya, peringkat dunia telah melihat komitmen Malaysia untuk menunjukkan segala amalan terbaik dari segi pengambilan pekerja untuk mengelakkan dan mencegah berlakunya pemerdagangan orang dan pengambilan buruh paksa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Operasi Kementerian Sumber Manusia; Sutekno Ahmad Belon, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran); Datu Buckland Bangik, Pengarah Tenaga Kerja Sarawak; Awang Raduan Awang Omar dan Timbalan Pengarah Tenaga Kerja Sarawak; Mohd Nizar Zakaria-UKAS