PUTRAJAYA, 31 JULAI 2024: Hasrat Sarawak membangunkan infrastruktur digital, teknologi hijau dan penyelesaian inovatif adalah untuk meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam ekonomi digital dan sektor tenaga hijau di rantau ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, strategi membangunkan teknologi itu akan menggerakkan pertumbuhan, mewujudkan keterangkuman dan memupuk kepelbagaian.
“Dalam usaha menerajui ekonomi digital itu, Sarawak telah melancarkan Halatuju Ekonomi Digital 2030 yang akan mentransformasikan ekonomi Sarawak menjelang tahun 2023,” katanya dalam ucaptamanya pada sidang ENTICE Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) 2024 pada Selasa.
Menurut Premier Sarawak lagi, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.89 bilion untuk membangunkan infrastuktur dan kemahiran digital di bawah Inisiatif Rangkaian Bandar, Desa dan Negara Sarawak (SALURAN).
Projek itu, katanya, bertujuan menyediakan internet berkelajuan tinggi dan meningkatkan ekonomi digital untuk membolehkan semua rakyat terutama penduduk luar bandar manfaat peluang digital saksana tanpa meminggirkan sesiapa.
Dalam pada itu, tambahnya, Sarawak turut membangunkan ekosistem teknikal dinamik Kampung Digital dan 22 hab inovasi melalui Tabungan Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang disokong oleh kerajaan dan industri untuk mempercepatkan pertumbuhan, inovasi, mewujud pekerjaan dan menjadikan Sarawak sebagai Lembah Silikon.
Sebagai sebahagian daripada Halatuju Ekonomi Digital 2030, katanya, Sarawak menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk merevolusikan penjagaan kesihatan dan bidang petanian bagi meningkatkan hasil tanaman dan pengurusan sumber.
Selain itu, katanya, Sarawak berkolaborasi dengan syarikat semikonduktor bertujuan meletakkan Sarawak sebagai hab terkemuka semikonduktor ASEAN menjelang 2030 bahkan Kabinet Negeri Sarawak juga telah meluluskan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) unuk memberi tumpuan kepada penyelidikan, pembangunan dan perdagangan AI.
SAIC akan membangunkan bakat tempatan, menarik pakar dunia dan meletakkan Sarawak sebagai peneraju teknologi AI di Malaysia terutama memacu aplikasi baharu dan inovatif dalam pelbagai sektor untuk meningkatkan keupayaan teknologi negeri ini, tegas beliau.
Menyedari peranan penting Pusat Data dalam ekonomi digital, Sarawak bersedia berkongsi dengan sektor swasta untuk mewujudkan Pusat Data Hijau dengan membangunkan Taman Pusat Data Hijau 200MW untuk membina infrastruktur digital mampan dengan kemajuan teknologi cekap tenaga.
“Halatuju Ekonomi Digital Sarawak telah meletakkan asas kukuh bagi kesejahteraan, inklusif dan kemajuan teknologi, menjamin daya saing dalam ekonomi digital global serta sebagai komitmen membina alam sekitar mampan,” tegasnya.
Pada masa yang sama, ujar beliau, Sarawak turut komited menangani perubahan iklim dan kelestarian pembangunan masa depan, sungguhpun saiz negeri ini sederhana, Sarawak berusaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan beralih kepada ekonomi rendah karbon.-UKAS