MUKAH, 26 JUN 2024: Isu bekalan air di Pulau Bruit bakal berakhir sebaik sahaja projek Program Grid Bekalan Air – Stressed Areas, Cadangan Bekalan Air Ke Pulau Bruit, Bahagian Mukah siap sepenuhnya tidak lama lagi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata kawasan Pulau Bruit mengalami masalah gangguan air terutama di bahagian utara Pulau Bruit termasuk Kampung Penipah, Kampung Tekajung dan Kampung Bruit disebabkan kekurangan air terawat.
“Kerajaan Sarawak telah menggunakan dana sendiri abgi membiayai projek berkenaan yang bernilai RM84.4 juta dimana ianya merangkumi 7 skop kerja iaitu Stesen Pam Penggalak di Serdeng, Stesen Pam Penggalak di Saai, Tangki Takungan Aras Tinggi di Semop, 400 mm Ductile Iron (DI) Pipe dari stesen pam Serdeng ke Semop, 350 mm DI Pipe dari tangki takungan aras tinggi Semop ke Penipah, 355 mm HDPE Pipe dari Penipah ke Kg. Tekajong dan 255 mm HDPE Pipe dari Kg. Sedi ke Kg. Sebako.
“Pihak kontraktor dilantik kini sedang menjalankan pengujian dan pentauliahan ke atas komponen-komponen projek yang sudah siap seperti stesen pam penggalak di Serdeng dan Saai untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak bagi tujuan pengoperasian dan anggaran kemajuan fizikal projek terkini adalah 91.08 peratus dan dijangka akan siap pada suku ketiga 2024,” katanya selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Projek Bekalan Air Dan Tangki Aras Tinggi di Pulau Bruit pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dato Sri Julaihi berkata dengan siapnya projek ini, JBALB dapat memenuhi keperluan air yang semakin meningkat di Pulau Bruit sehingga tahun 2040 melibatkan 12 buah kampung yang dijangka mampu menampung populasi sehingga 16,600 hingga 18,000 orang di kawasan tersebut.
Turut hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop; Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Jafri Lias, Pengarah JBALB; Ir. Awang Mohamad Fadillah Awang Redzuan serta tetamu lain-UKAS