NIAH, 30 MEI 2024: Sarawak bakal laksanakan Pelan Induk Projek Perlindungan Tebing Sungai Niah atau ‘Niah Riverbank Protection Project Masterplan’ dengan menelan belanja lebih RM100 Juta.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ia akan menjadi ‘game changer’ dunia di kawasan Subis sekiranya Gua Niah melepasi peringkat terakhir dan dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Katanya, pembangunan itu nanti akan melibatkan pekan Niah kerana kawasan gua tidak boleh disentuh dan harus dikekalkan keasliannya.
“Kita sama-sama doakan kita lulus di peringkat yang terakhir itu nanti, sekiranya kita melepasi ujian ini, bermakna Sibuti akan dikenali di seluruh dunia dengan Niah sebagai pusatnya.
“Kita juga sedang mencadangkan Niah mempunyai pelan induk dan disebut sebagai ‘Niah Riverbank Protection Project Masterplan’ dan saya dapat berikan gambaran belanjanya lebih RM100 Juta,” katanya semasa berucap pada Majlis Melanggar Meja dan Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Daerah Subis, di Dewan Terbuka Waterfront Fasa 2, Sepupok Niah pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, kerajaan juga akan menaiktaraf capaian internet di kawasan ini dan beberapa projek kecil lain seperti penghubung waterfront Bekenu, jambatan dan skim perumahan juga akan dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan berita baik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai kedudukan ekonomi Sarawak yang kini berada di kedudukan kedua tertinggi di Malaysia.
“Hari ini eksport kita di antara kawasan-kawasan negeri yang telah dapat mencapai satu angka yang menggalakkan. Yang pertamanya adalah Selangor dengan RM3 bilion jumlah eksport, yang kedua hari ini adalah Sarawak dengan RM2.1 bilion.
“Dan dari sudut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Sarawak kini di tempat ketiga melepasi Johor,” jelasnya.
Terdahulu, sejurus tiba, beliau telah meluangkan masa untuk melawat gerai-gerai makanan yang disediakan oleh penduduk-penduduk kampung di sekitar kawasan ini.
Hadir sama isteri Premier Sarawak; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu; Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Lambir; Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak; Fazzrudin Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan); Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Residen Bahagian Miri; Jamalie Busrie dan Pegawai Daerah Subis merangkap Pengerusi Pengelola Majlis; Norlila Ulis.-UKAS