KUCHING, 27 MEI 2024: Perkembangan pantas penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) memberi cabaran besar dalam evolusi media era digital.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kepentingan AI tidak dapat diremehkan kerana ia mampu mengubah industri media masa kini.
Menurutnya, kuasa transformasi AI juga semakin jelas dengan pelbagai pihak cuba meniru kepintaran otak manusia sebagai daya penggerak dalam perubahan industri media era digital.
“Dalam era yang semakin digital, akses kepada berita menjadi lebih mudah berbanding sebelum ini. Namun begitu, walaupun berita boleh diakses dengan cepat melalui pelbagai platform media, cabaran utama yang dihadapi ialah keupayaan individu untuk memahami dan menilai berita dengan betul.
“Setiap individu perlu memahami keseluruhan berita secara menyeluruh sebelum membuat sebarang kesimpulan atau tindakan berdasarkan maklumat yang diterima,” katanya ketika berucap menyempurnakan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 di sebuah hotel terkemuka pada Ahad.
Persidangan bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ ini dianjurkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dengan kerjasama AZAM Sarawak dan Business Events Sarawak.
Mengulas lanjut, Premier Sarawak memberitahu, dengan kemajuan dalam teknologi dan kepelbagaian sumber berita yang tersedia, individu perlu meningkatkan kemahiran kritikal mereka dalam menilai kebenaran dan kebolehpercayaan berita.
“Jika daya pemikiran seseorang itu tidak begitu efektif, mereka mungkin terdedah kepada berita palsu atau tidak sah kerana penyampaian berita hari ini adalah berbeza daripada sebelumnya, dan ini merupakan cabaran kepada masyarakat,”jelasnya.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, pengguna media sosial kini mempunyai akses yang lebih luas kepada kandungan media dari negara di seluruh dunia.
Sehubungan itu tegasnya, syarikat media tempatan perlu menyesuaikan diri dengan cepat untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran yang sentiasa berubah ini.
“Saya rasa kita perlu sedar dengan transformasi semasa dalam industri media.
“Kerajaan Sarawak menyokong semua sumbangan daripada industri media supaya kita menerima maklumat yang boleh dipercayai serta input yang berkualiti ketika kita bergerak ke hadapan,”ujar beliau.
SMEC 2024 yang berlangsung bermula sejak 26 hingga 27 Mei telah berjaya menghimpunkan kira-kira 500 orang pengamal media dari Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor Leste, Vietnam, China, Korea dan Qatar.
Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Komunikasi; Fahmi Fadzil, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS); Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi); Datu Hii Chang Kee dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan); Datu Dr Abdullah Zaidel.-UKAS