TOKYO, 20 DISEMBER 2023: SEDC Energy bakal menerajui perolehan kuasa dan pengeluaran hidrogen selepas memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) tiga penjuru dengan rakan kongsi dari Jepun iaitu ENEOS dan Sumitomo Corporation untuk projek H2ornbill baru-baru ini.
Difahamkan, perjanjian tersebut telah ditandatangani antara ketiga-tiga pihak di Kuching pada 25 Oktober lepas yang mana butiran terperinci Projek H2ornbill kini sedang diusahakan.
Selaras dengan kerjasama berkenaan, ketiga-tiga pihak berserta Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni telah melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Ken Saito bersempena dengan lawatan ke Tokyo untuk Forum ‘Asia Zero Emission Community’ (AZEC) pada Sabtu.
Kunjungan hormat tersebut adalah untuk berkongsi maklumat mengenai kemajuan Projek H2ornbill dengan pembentangan projek telah dilakukan oleh wakil dari Sumitomo Corporation, ENEOS dan SEDC Energy.
Dalam pada itu, Projek H2ornbill dilaksanakan bagi memulakan pengeluaran hidrogen bersih menjelang 2030 dengan semua pihak yang terlibat akan memasuki fasa Reka Bentuk Kejuruteraan ‘Front-End’ (FEED) tidak lama lagi.
JDA antara SEDC Energy, Sumitomo Corporation dan ENEOS juga menggariskan penubuhan kerjasama rantaian bekalan hidrogen bersih merangkumi janaan sekitar 90,000 tan hidrogen bersih termasuk 2,000 tan yang ditetapkan untuk kegunaan tempatan di Sarawak.
Peranan SEDC Energy dalam perjanjian tersebut akan melibatkan aspek teknikal pengeluaran hidrogen yang akan memfokuskan kepada penyepaduan dan pengoptimuman proses perolehan tenaga untuk projek berkenaan.
Sehubungan itu, Bintulu dipilih untuk lokasi hab tersebut berikutan keberadaan kompleks perindustrian petrokimia yang mempunyai kelebihan kerana dapat memanfaatkan kemudahan sedia ada untuk pengeluaran Methylcyclohexane (MCH) yang akan digunakan untuk mengeksport hidrogen ke Jepun.
Selain itu, tenaga hidro Sarawak juga telah menarik minat kedua-dua rakan kongsi Jepun tersebut untuk terlibat dalam Hab Hidrogen Sarawak di Bintulu di mana sistem grid kuasa hidro ini mampu menghasilkan hidrogen yang lebih bersih.-UKAS