KUCHING, 04 DISEMBER 2023 (SNN): Sebarang bentuk penindasan terhadap orang awam terutama yang melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak harus dihentikan serta wajar mendapat kecaman dari semua pihak.
Ketua Wanita Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tindakan keganasan terhadap golongan rentan terbabit adalah perbuatan tidak berperikemanusiaan.
“Justeru, serangan dan pengeboman ke atas penduduk sivil yang menyebabkan penderitaan terutamanya terhadap wanita dan kanak-kanak hendaklah diharamkan serta ditegah dan dikecam,” katanya mengulas mengenai konflik Israel-Palestin yang mengorbankan ramai nyawa.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Pergerakan Wanita PBB di Penview Hotel pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA) merupakan satu set peraturan bertujuan mengehadkan kesan konflik bersenjata ke atas manusia dan objek awam.
UUKA katanya, bertujuan melindungi mereka yang tidak mengambil bahagian dalam peperangan seperti orang awam, tawanan, orang sakit dan individu cedera serta menyekat penggunaan senjata kejam.
Hadir sama Ahli-Ahli MT lain Dato Sri Rohani Abdul Karim; Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Datuk Rosey Yunus dan ahli majlis tertinggi lain.-UAKS