KANOWIT, 07 OGOS 2023 (SNN): Projek bekalan air Kanowit Fasa 2 yang mengalami kelewatan dijangka siap pada suku pertama 2024 dengan status terkini adalah di peringkat projek mengikut jadual baharu yang ditetapkan setelah mengambil kira dua faktor utama iaitu bahan binaan di tapak dan kelulusan Lanjutan Masa (Extensions Of Time) oleh agensi pelaksana.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi yang turun padang membuat tinjauan kali kedua memberitahu, tahap kemajuan projek bekalan air tersebut kini dapat disiapkan mengikut jadual baharu ditetapkan oleh pihak JBALB.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, pihak Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) bersama-sama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan memantau kemajuan pelaksanaan projek ini bersama pihak jururunding dan kontraktor yang dilantik.
Selain itu, pihak kontraktor juga diingatkan supaya mematuhi jadual baharu yang telah diluluskan.
Projek dengan kos berjumlah RM63.5 juta itu terbahagi kepada tiga komponen di mana komponen pertama melibatkan pembinaan stesen penggalak Durin, komponen kedua pula melibatkan pembinaan tangki air aras tinggi yang berkapasiti 3.5 MLD di Bukong Jagoi manakala komponen ketiga ialah pemasangan paip sepanjang 55 km dari Loji Air Salim Sibu menuju Kanowit.
Apabila siap kelak, projek ini dijangka dapat meningkat tekanan air dan mampu menyediakan bekalan air terawat di kawasan Sibujaya, Durin, Kanowit dan kawasan sekitar.
Turut hadir sama Timbalan Menteri MUT (Utiliti); Datuk Dr Abd Rahman Junaidi, ADUN Machan; Allen Siden Gramong, ADUN Ngemah; Anyi Jana, Setiausaha Tetap MUT; Jafri Lias, Pengarah JBALB; Ir Chang Kuet Shian, Pengurus Besar Lembaga Air Sibu; Ithin Langit @Abdul Malik Abdullah dan wakil dari Saratech Sdn Bhd Ibrahim.-UKAS