KUCHING, 30 MAC 2023 (SNN): Sebanyak RM1.515 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan 65 projek yang telah dikenalpasti dan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Pengerusi RADDA yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, kesemua projek itu telah mendapat kelulusan dan kini pihaknya akan mengemukakan senarai projek tersebut kepada Setiausaha Kewangan Sarawak dan Unit Perancang Ekonomi Sarawak untuk menilaikan projek tersebut.
“Pada masa sama kita akan mengajukan senarai projek ini kepada agensi-agensi pelaksana yang telah kita kenal pasti untuk melaksanakan projek ini,” katanya selepas mengetuai rombongan mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.
Beliau menambah, pelaksanaan projek-projek itu kelak akan memberi kesan positif kepada rakyat di bahagian Sarikei, Mukah dan sebahagian di daerah Sibu.
“Kebanyakan projek ini merupakan projek infrastruktur, ekonomi dan sosial seperti jalan raya, perumahan dan sebagainya yang mana akan memberikan impak positif kepada rakyat,” katanya.
Turut hadir mengiringi adalah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti;Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS);Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman);Datuk Murshid Di Raja Dr Juanda Jaya, ADUN N.47 Pakan; Tan Sri William Mawan ak Ikom, ADUN N.46 Meradong; Datuk Ding Kuong Hiing, ADUN N.43 Daro; Encik Safiee Ahmad, ADUN N.48 Meluan; Encik Rolland Duat anak Jubin, ADUN N.58 Balingian; Abdul Yakub bin Haji Arbi, Residen Sarikei; Michael Ronnie anak Langgong, Residen Mukah; Kueh Lei Poh, dan Pegawai Tadbir Khas, RADDA; Kelana Kipli.-UKAS.