KUCHING, 29 MAC 2023 (SNN): Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan anak-anak syarikatnya memberikan sumbangan berjumlah RM 100,000 kepada penduduk di beberapa kampung di Tanjung Manis.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentabiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan terbabit untuk diagihkan kepada lebih 1150 orang.
Ketika ditemui media beliau yang juga Ahli Lembaga Pengurusan PUSAKA memberitahu, program sumbangan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PUSAKA setiap tahun bagi penduduk sekitar Tanjung Manis untuk meringankan beban golongan asnaf, warga emas, ibu tunggal/balu, anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sekaligus merapatkan silaturrahim dengan penduduk setempat.
“PUSAKA Capital baru ditubuhkan beberapa tahun yang lepas dan aktiviti PUSAKA Capital ini merangkumi banyak sektor seperti perladangan dan sebagainya.
“Jadi kita harap banyak lagi syarikat di bawah naungan PUSAKA dapat memberikan sumbangan kepada program seperti ini dan ia akan memberikan manfaat kepada penduduk-penduduk di kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis berkenaan di Wisma Sumber Alam pada Selasa.
Difahamkan, sumbangan berkenaan disalurkan terus kepada Biro Kebajikan N41 Kuala Rajang bagi tujuan penyelarasan dan pengagihan kepada golongan yang layak.
Turut hadir, Pengurus Besar PUSAKA, Datu Hashim Bojet dan Ketua Pegawai Operasi PUSAKA Capital, Mohamad Nor Topek Julaihi.-UKAS.