KUALA LUMPUR, 04 OKTOBER 2022 (SNN): Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang giat mempromosikan Batik Malaysia di Bangunan Parlimen Malaysia.
Melalui ‘Kempen ini Batik Malaysia’ ia merupakan inisiatif daripada Perbadanan kemajuan Kraftangan Malaysia dalam mengetengahkan keunikan seni Batik Malaysia yang perlu diperkasakan agar mendapat sambutan yang padu daripada rakyat Malaysia termasuklah pimpinan di peringkat atasan seperti ahli-ahli parlimen.
Selain itu, kempen terbabit turut memberikan baucar yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) tahun 2020.
Inisiatif ini dilaksanakan untuk menggalakkan orang ramai membeli produk kraf Malaysia. Pada awal tahun 2022, insentif baucar pembelian produk kraf tempatan sebanyak RM3.8 juta ditawarkan kepada orang ramai. Baucar bernilai RM30 bagi setiap gandaan RM100 diberikan untuk pembelian produk kraf di kalangan Keluarga Malaysia.
Penawaran baucar ini memberi manfaat langsung kepada komuniti kraf dengan janaan nilai jualan sebanyak RM21.7 juta.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat; Tan Sri Azhar Azizan Harun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia; Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson; Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Pontian; Datuk Seri Ahmad Maslan dan ahli-ahli Parlimen lain termasuk dari Sarawak.