KUCHING, 01 OKTOBER 2022 (SNN): Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta di lampu isyarat Jalan Stephen Yong Link-Jalan Desa Wira di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian jam 9.10 malam itu, mangsa yang maut dikenali Chung Xan Tan, 48, beralamat di Jalan Batu Kitang bertembung dengan kereta Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 19 tahun dari arah Batu 4 menuju ke Taman Desa Wira.
“Apabila sampai di lampu isyarat Stephen Yong link dan sedang membelok ke kanan ke Kuching City Mall kereta terbabit dilanggar di sisi kiri kenderaan oleh penunggang motosikal Kawasaki Z500 yang bergerak lurus dari arah Jalan Stephen Yong.
“Akibat pelanggaran itu penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
“Kenderaan terlibat dibawa Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegasnya.