KUCHING, 01 OKTOBER 2022 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak. Datuk Julaihi Narawi menghargai sumbangan Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Dato Ir Alice Jawan Empaling sepanjang berkhidmat lima tahun dan 10 bulan di kementeriannya.
Berucap dalam Majlis Malam Mesra bersama semua warga MUT dan semua agensi berkaitan di bawah seliaan Kementerian MUT, Julaihi merakam setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada beliau kerana telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda Kerajaan Sarawak membekal air bersih dan terawat, menyedia bekalan elektrik, bekalan gas (di Miri setakat ini) dan liputan internet ke seluruh Sarawak suatu hari nanti.
Dato Ir Alice Jawan menamatkan khidmatnya sebagai SUT di bawah Kementerian MUT dan akan berpindah sebagai SUT di Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bermula Oktober ini.
“Saya percaya beliau akan menggunakan pengalaman, ilmu dan kebolehan yang beliau miliki untuk memainkan peranan yang sama penting di Kementerian MOTS nanti,” ujar beliau.
Bagi pihak warga Kementerian MUT dan semua agensi di bawah seliaan Kementerian MUT, beliau mewakili semua sekali lagi menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan Dato Ir Alice Jawan sepanjang berkhidmat dan jasa beliau akan tetap di kenang oleh semua warga MUT.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Komunikasi); Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan seluruh warga Kementerian MUT.