KUCHING, 15 JULAI 2022 (SNN): Industri penanaman pokok kelapa di sekitar Daerah Sebuyau akan dibangunkan dengan lebih efektif di bawah Agro Research Lab yang dicadangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membuat penyelidikan serta penanaman semula kelapa.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap ADUN Sebuyau, Datuk Julaihi Nrawi berkata, kawasan Sebuyau yang merangkumi sekitar Sebangan, Seruyuk, Bajong, Arus, Tungkah hingga ke pekan Sebuyau mempunyai potensi untuk diusahakan tanaman kepala.
“Berdasarkan pengalaman kelapa diusahakan di kawasan itu yang sangat subur, ia dijangka mampu menghidupkan semula industri penanaman kepala jenis ‘Malayan Talls’ dengan keadaan tanah di sekitarnya yang begitu subur selain disokong oleh faktor benteng laut apabila siap kelak.
“Selain itu, jalan pesisir dan jalan utama kedua yang melalui kawasan Sebuyau/Sebangan apabila siap sepenuhnya kelak turut memberi manfaat besar penanaman kelapa di kawasan ini dengan adanya infrastruktur untuk memasarkan produk berkenaan lebih mudah,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Agro Research Lab pada Khamis.
Tambah Julaihi, Pejabat Residen atau Urusetia IRSDA dilantik menjadi urusetia bagi penyelidikan ini manakala Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diberi tanggungjawab utama untuk menghidupkan agro research lab terbabit selain EPU, Universiti Swinburne, DID, Jabatan Pertanian, Jabatan Tanah & Survei yang juga merupakan ahli jawatankuasa turut memainkan peranan penting nanti.
“Kawasan ini mempunyai banyak kepala sejak sekian lama namun permasalahan yang kita hadapi sekarang adalah bagaimana hendak mendapatkan benih kelapa yang sesuai untuk penanaman semula seperti benih kelapa mataq dan pandan selain ‘Malayan Talls’.
“Tanaman lain untuk jangka masa pendek juga turut dipertimbangkan dan industri hiliran untuk nanas juga dalam perancangan,”jelasnya lagi.
Ujar beliau, perancangan untuk penanaman semula industri ini nanti adalah berfokuskan kepada penggunaan teknologi canggih, kelestarian alam sekitar, pasaran dalaman dan luar selain melibatkan penduduk setempat terutamanya anak muda tempatan bagi memberi peluang kepada mereka mempunyai kepakaran dalam industri berkenaan.