KUCHING, 01 DISEMBER 2022 (SNN): Sebanyak 92 buah stesen telekomunikasi rangkaian 5G akan mula beroperasi di bandar-bandar utama Sarawak menjelang pada akhir tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata pelaksanaan ini adalah sebahagian daripada 500 buah stesen rangkaian 5G yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri Sarawak.
“Menjelang akhir tahun 2023, kerajaan Sarawak mensasarkan semua bandar-bandar utama seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri mula mendapat akses kepada rangkaian perkhidmatan 5G secara berperingkat dalam usaha merealisasikan transformasi digital di Sarawak oleh Kerajaan Pusat di bawah Digital Nasional Berhad (DNB).
“Pelaksanaan rangkaian 5G di Sarawak telah bermula sejak pertengahan tahun ini dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1 bilion untuk tempoh 10 tahun,” katanya dalam ucapan Penggulungan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.
Berucap lanjut, Julaihi turut menjelaskan sebanyak 7,000 buah menara dan struktur telekomunikasi diperlukan di seluruh Sarawak bagi memastikan Sarawak mencapai liputan penuh telekomunikasi termasuklah kawasan luar bandar.
Setakat ini, sebanyak 3,539 menara bersamaan 50.6 peratus daripada jumlah keseluruhan menara yang disasarkan telahpun berjaya dibina di Sarawak dengan tambahan pembinaan menara telekomunikasi oleh Sarawak Multimedia Authority Rural Telecomunication (SMART), sebanyak 600 menara yang dilaksanakan dalam 2 fasa.