More
    Home Sarawak Kuching 7,000 permohonan ALAF di bawah Skim Penyambungan Elektrik Luar Bandar telah diselesaikan...

    7,000 permohonan ALAF di bawah Skim Penyambungan Elektrik Luar Bandar telah diselesaikan sejak 2018-Menteri Utiliti dan Telekomunikasi

    KUCHING, 11 FEBRUARI 2022 (SNN) : Sekurang-kurangnya 7,000 permohonan bagi Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF), iaitu program penyambungan bekalan elektrik kepada isi rumah baharu atau sedia ada yang tidak diliputi di bawah Skim Elektrik Luar Bandar (RES) telah diselesaikan sejak 2018.

    Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, sekurang-kurangnya RM50 juta dana kerajaan telah digunakan dan ia merupakan sebahagian daripada 40,000 permohonan Alaf yang diterima di seluruh negeri oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) sejak program dilancarkan pada tahun 2018.

    “Dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP), pelaksanaan program akan dipercepatkan kerana ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mencapai liputan penuh bekalan elektrik seluruh Sarawak menjelang 2025.

    “Pada masa ini, liputan elektrik luar bandar di Sarawak mencapai 96.5 peratus dan keseluruhan liputan elektrik di Sarawak adalah 98 peratus. Walaupun kita masih kurang empat peratus untuk mencapai sasaran 100 peratus menjelang 2025, empat peratus itu sangat mencabar kerana kawasan terpencil,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke ibu pejabat SEB, semalam.

    Sidang media Menteri Utiliti dan Telekomunikasi selepas mengadakan lawatan kerja ke Bangunan SEB di Jalan Isthmus, Kuching, semalam.

    Menurut Julaihi lagi, SEB kini mempunyai 32 pasukan kontraktor untuk melaksanakan projek Alaf, tetapi jumlah itu tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan yang sedia ada di seluruh negeri.

    “Kita memerlukan lebih ramai kontraktor di kawasan luar bandar untuk melaksanakan projek Alaf. Kementerian saya sedang menambah orang yang kompeten untuk mempercepatkan pelaksanaan Alaf.

    “Kontraktor mesti berdaftar dan cekap. Mereka mesti terlatih sepenuhnya dan bertauliah. Kita mempunyai 32 pasukan kontraktor sedia ada berdaftar dengan SEB, jadi mereka diwajibkan berkhidmat di kawasan luar bandar,” jelasnya lagi.

    Beliau menasihati kontraktor supaya menyahut cabaran untuk menerokai kawasan terpencil bagi menghubungkan penduduk luar bandar Sarawak dengan sistem bekalan elektrik negeri.

    “Jangan pilih dan hanya meliputi kawasan yang boleh dimasuki. Kontraktor mesti sanggup mengambil kerja-kerja yang ditawarkan, mereka mesti sanggup pergi ke kawasan terpencil.”

    Julaihi berkata kerajaan Sarawak komited menyediakan kemudahan utiliti kepada semua di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar termasuk kampung dan rumah panjang. Ini disebabkan gaya hidup masyarakat luar bandar di Sarawak kini telah berubah dengan memerlukan bekalan elektrik bagi membolehkan anak-anak mereka menggunakan komputer riba.

    Julaihi mengakui beberapa projek tertangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.

    “Kelewatan projek berlaku di mana-mana disebabkan PKP, tetapi ini tidak bermakna projek tidak bergerak dan projek itu masih dilaksanakan,” katanya.

    Turut hadir sama Menteri Muda Telekomunikasi; YB Datuk Liwan Lagang dan Menteri Muda Utiliti; YB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Dato Alice Jawan; Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi ( MUT) Sarawak dan pegawai kanan MUT.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerjasama Sarawak dengan Mitsubishi Power bukti kukuh untuk wujudkan ekonomi berasaskan...

    0
    HYOGO, 19 DISEMBER 2024: Industri hidrogen akan memainkan peranan transformatif dalam landskap tenaga global dan Sarawak komited untuk berada di barisan hadapan dalam evolusi...