KUCHING, 12 MAC 2025 (SNN): Setiap kali menjelang bulan suci Ramadan adalah menjadi satu peluang untuk umat Islam melakukan amal ibadah dengan lebih banyak kerana terdapat keberkatan pahala berlipat kali ganda dibandingkan hari-hari biasa.
Tidak mahu terlepas peluang merebut ganjaran di bulan puasa kali ini, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) turut berkongsi rezeki kepada golongan asnaf dengan menganjurkan program Ihya’ Ramadan bagi tahun 2025/1446 Hijrah.
Difahamkan, program Ihya’ Ramadan AKYBMS adalah aktiviti tahunan yang dianjurkan tiap kali tiba bulan puasa dan kali ini terdapat tujuh buah lokasi atau kampung telah dikenalpasti untuk menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan.
Acara simbolik pelancaran ‘Flag Off’ program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Datuk Dr. Haji Wahbi bin Haji Junaidi diiringi Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr. Haji Sanib bin Haji Said di pekarangan Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Gimik pelancaran itu juga turut menyaksikan perarakan mini kenderaan yang membawa sebahagian sumbangan berupa makanan asas dan beras yang akan diagihkan kepada golongan asnaf di kawasan terpilih.
Antara kawasan yang disasarkan pada program kali ini ialah, Masjid Baitul Rahim Kg Kolong Dua, Masjid Nur Saadah Taman Heng Guan, Masjid Darul Muttaqin Kg Buntal, Masjid Darul Ehsan Kg Sejingkat, Masjid Darus Saadah Kg Tabuan Melayu, Maahad Tahfiz Raudatul Jannah Kg Selang Ulu, Kuching dan Surau Darul Nur Dini Kg Sungai Midin.
Pengurus Besar AKYBMS, Datu Sanib dalam ucapan beliau menyatakan, diharap dengan sedikit bantuan yang dihulurkan oleh AKYBMS dapat membantu meringankan beban golongan asnaf terutamanya sepanjang bulan ramadan ini.