SEBUYAU, 10 SEPTEMBER 2023 (SNN): Seramai 43 penduduk di Kampung Seruyuk, Sebuyau telah menikmati bekalan elektrik 24 jam dengan kos pelaksanaan berjumlah RM143,626 iaitu RM3,340 bagi sebuah rumah.
Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, projek penyambungan bekalan elektrik berkenaan telah dilaksanakan bermula sejak dari bulan September 2022 dan telah siap sepenuhnya pada Jun 2023.
“Bagi meringankan beban masyarakat di luar bandar, kerajaan Sarawak telah memperkenalkan satu inisiatif yang dinamakan Bantuan Dana Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF) yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Sarawak Energy Berhad (SEB) sebagai agensi pelaksana bagi projek elektrik ini.
“ALAF adalah program berterusan yang dilaksanakan secara berperingkat untuk membekalkan bekalan elektrik 24 jam ke kawasan luar bandar,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Projek ALAF Kampung Seruyuk di Sebuyau pada Sabtu.
Datuk Julaihi menambah, sehingga suku kedua tahun 2023, sebanyak 13,699 isi rumah telah menikmati bekalan elektrik menerusi Projek ALAF manakala sebanyak 5,902 isi rumah dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Daripada jumlah tersebut jelas beliau, sebanyak 532 isi rumah telah mendapat kelulusan rekabentuk dan sedang menunggu ketersediaan panel kontraktor.
“Manakala sebanyak 615 isi rumah di peringkat muktamad rekabentuk dan sebanyak 7,579 pemohon sedang dalam kerja-kerja survei dan bakinya 6,000 isi rumah masih dalam peringkat tapisan.
“Sebagai usaha Kerajaan meringankan beban Rakyat luar bandar, pemohon di bawah sambungan skim elektrik luar bandar juga layak mendapat skim bantuan pendawaian dalam rumah atau Assisted Wiring Scheme (AWS) di mana pemohon boleh membayar kos pendawaian dalaman secara ansuran selama 36 bulan melalui bil elektrik SEB,” ujarnya.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi); Datuk Liwan Lagang, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian; Syed Mohamad Fauzi Shahab, Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bujang, Pengurus Wilayah Barat Sarawak Energy; Nazry Abdul Latip dan Ketua Kaum Kampung Seruyuk; Umar Ali.