KOTA SAMARAHAN, 10 MEI 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak sudah mengenal pasti 42 kawasan tadahan air untuk digazet dalam usaha menjaga sumber air mentah yang mencukupi bagi jangka masa panjang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, penambahan 42 kawasan tadahan air yang telah dikenalpasti ini adalah tambahan bagi 28 kawasan sedia ada yang sudah digazet.
“Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan RM4 bilion untuk memulihkan kerja-kerja bekalan air luar bandar di seluruh Sarawak bagi memastikan kawasan luar bandar mendapat bekalan air terawat dan bersih.
“Matlamat Kerajaan adalah untuk memastikan sistem grid air dapat dilaksanakan di seluruh pelusuk Sarawak. Sistem grid air ini penting bukan sahaja untuk menyalurkan bekalan air dari satu tempat ke satu tempat, tetapi juga penting untuk kita membawa air mentah, supaya ia boleh diproses menjadi air terawat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Pejabat Baharu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Samarahan di Bandar Baru Kota Samarahan pada Selasa.
Tambah Julaihi lagi, Sarawak mempunyai banyak air ditambah dengan sungai yang besar jadi tidak ada masalah air jika kita melihat pada realitinya.
Mengulas lanjut mengenai Program Grid Bekalan Air Sarawak, beliau berkata ia melibatkan pelaksanaan projek-projek seperti sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambahbaikan, penukaran paip serta inisiatif pemodenan (pendigitalan) dan pelaksanaan projek bekalan air luar bandar.
“Program Grid Bekalan Air Sarawak bertujuan menyelesaikan isu bekalan air secara berkesan dan menyeluruh menjelang tahun 2030 dan tahun-tahun seterusnya.
“Program ini merupakan satu perancangan jangka panjang dan menyeluruh bertujuan untuk menambahbaik sistem bekalan air sedia ada di Sarawak. Dan ianya akan dilakukan dengan menghubung jalinkan sumber bekalan air mentah dan air terawat dari setiap bahagian ke bahagian yang lain di seluruh Sarawak,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Liwan Lagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan; Datuk Hamzan Brahim, Ahli Parlimen Batang Sadong; Rodiyah Sapiee, ADUN Simunjan; Awla Dris, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Jafri Lias dan Pengarah Jabatan Air Luar Bandar Sarawak; Ir Chang Kuet Shian.-UKAS.