SEBUYAU, 28 SEPTEMBER 2024 (SNN): Sebanyak 235 buah unit rumah mampu milik jenis dua tingkat akan dibina secara berperingkat di atas tanah seluas 41.28 ekar di Bandar Baharu Sebuyau.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek tersebut merupakan projek yang telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Projek Rakyat yang merupakan salah satu komponen utama dalam Bandar Baharu Sebuyau.
Katanya lagi, Projek yang dijangka akan siap pada suku kedua tahun 2027 itu merupakan fasa pertama yang mana melibatkan 100 buah unit rumah jenis dua tingkat dan dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya dan sistem peparitan.
“Bagi fasa 1 ini dianggarkan sebanyak RM77.1 juta diperuntukan untuk membina 100 buah unit rumah selain RM10.8 juta untuk penyediaan tapak termasuklah penembokan 41.2 ekar tanah.
“Keseluruhan rumah yang akan dibina adalah 235 unit maknanya nanti di fasa kedua kita akan membina sisanya sebanyak 135 buah unit,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Kesyukuran Bermulanya Pembinaan Projek Perumahan Mampu Milik Sebuyau, di sini hari ini.
Tambah Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu lagi, permulaan pelaksanaan projek itu nanti dijangka pada Oktober tahun ini yang mana nantinya akan memberi manfaat kepada penduduk untuk memiliki rumah dalam kawasan bandar baharu apabila siap kelak.
Ujarnya, kawasan perumahan itu juga nanti akan dilengkapi dengan kemudahan seperti masjid, tempat rekreasi serta kemudahan riadah dan pembangunan komersial yang lain untuk keselesaan penduduk yang tinggal di sana nanti.
Turut hadir sama ialah Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan (LCDA); Datu Sri Zaidi Hj Mahdi, CEO LCDA Real Estate; Hardi Fadillah Hamzah, Pengarah Tanah & Survei; Awang Zamahari Awang Mahmood, Pengarah JBALB; Awang Fadillah Awang Reduan, Pegawai Tadbir Daerah Sebuyau; Tahir Putih, Pegawai-Pegawai Kanan LCDA dan Pejabat Tanah & Survei serta KMKK tempatan sekitar Sebuyau