KUCHING, 25 FEBRUARI 2021 (SNN) : Hari ini terdapat 219 kes positif jangkitan covid-19 di Sarawak menjadikan jumlah kes meningkat kepada 8,869 kes manakala dua kes kematian baharu direkodkan di Sibu menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 78 orang.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan media memberitahu kes positif baharu yang direkodkan melibatkan daerah Sibu (80 kes), Kapit (26), Bintulu (25), Kuching (18), Meradong (17), Miri (12), Samarahan (11), Serian (10), Selangau (8), Sri Aman (5), Saratok (3) manakala daerah Kanowit, Sarikei, Bukit Mabong, dan Betong masing-masing satu (1) kes.
Kes kematian hari ini melibatkan dua warganegara tempatan yang sedang menerima rawatan di Hospital Sibu yang mana kes ke-77 merupakan perempuan berumur 77 tahun disahkan meninggal dunia pada 24 Februari 2021 dan kes mempunyai sejarah penyakit kronik. Kes ke-78 seorang lelaki berumur 90 tahun disahkan meninggal dunia pada 25 Februari 2021 dan juga mempunyai sejarah penyakit kronik.
JPBN Sarawak hari ini mengisytiharkan satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Ho Pin melibatkan kawasan komuniti Daerah Samarahan, Serian dan Kuching. Jangkitan kes terjadi melalui aktiviti kunjung-mengunjung rumah terbuka Sambutan Tahun Baru Cina antara tarikh 11 hingga 14 Februari 2021 lalu. Setakat hari ini terdapat 14 kes positif dikesan termasuklah kes indeks dan pengesanan kontak kepada kes masih dalam siasatan.