KUCHING, 02 JANUARI 2024 (SNN): Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyifatkan bahawa permulaan pada tahun 2024 akan menjadi titik awal terbaik untuk Sarawak terus maju.
Menurut beliau, berkat usaha kerajaan Sarawak yang sentiasa memberi tumpuan dan fokus akan tanggungjawab yang dipikul, menjadikan ekonomi negeri ini sentiasa stabil dan pendapatan semakin bertambah.
“Kita Sarawak, kita tumpukan perhatian sahaja dan kita fokus. Berkat kita fokus, ekonomi kita kuat dan pendapatan kita bertambah.
“Dalam masa sama ada bulan Januari atau Februari, anda akan mendengar khabar gembira. Saya tidak mahu katakan dahulu. tunggu sahaja. Sekarang ini kita hanya perlu menumpukan perhatian terhadap usaha kita,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan sempena lawatan beliau ke Dataran Ibu Pertiwi, pada Isnin.
Ketika disoal berkenaan adakah Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih tetap kekal menyokong kepimpinan kerajaan Perpaduan, Premier Sarawak memberitahu, beliau hanya mahukan kestabilan kerajaan Malaysia.
“Apa yang penting sekarang adalah kestabilan kerajaan Malaysia. Kita bersaing (dalam mengukuhkan ekonomi) dengan rakan-rakan jiran kita yang lain. Kalau negara kita kelam kabut, siapa yang hendak bawa duit ke Malaysia?
“Kalau pelaburan tidak masuk, peluang pekerjaan akan kurang dan yang menjadi mangsa adalah rakyat. Pemimpin berebut-rebut untuk apa?” ujar beliau.
Menyentuh mengenai ‘Langkah Dubai’ pula, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mengakui bahawa beliau terkejut dan hairan apabila turut dikait dengan gerakan sulit berkenaan.
“Saya hairan, kenapa pula nama saya dimasuk dalam Langkah Dubai itu kononnya nak jadi Perdana Menteri? Adakah patut?
“Kita sedar kedudukan kita, kita lihat juga sukatan baju kita sendiri. Kita guna sukatan ini, cukup setakat sukatan ini sahaja. GPS hanya 23 sahaja (kerusi Parlimen), nanti apabila kita naik (sebagai Perdana Menteri) pasti waktu itu kita dikenakan habis-habisan pula dari bawah. Kita bukan ‘paloi’,” tegas beliau lagi.
Turut serta dalam lawatan itu ialah dua Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Peguam Besar Sarawak; Datu Saferi Ali, Datuk Bandar Kuching Utara; Hilmy Othman serta dif-dif kenamaan yang lain.-UKAS