KUCHING, 01 OKTOBER 2024 (SNN): Sebanyak 140 kampung dari pelbagai daerah di Sarawak yang melibatkan hampir 2,755 isi rumah kini telah menikmati bekalan elektrik yang stabil setelah siapnya projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) Fasa 2.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek berkenaan dilaksanakan bermula 22 Okt 2020 dan telah siap sepenuhnya pada 21 Jun tahun lepas.
“Sistem jana kuasa solar ini dibina bagi menjana bekalan elektrik untuk kegunaan asas tertakluk kepada had maksimum sebanyak 2kWh (kilowatt jam) sehari bagi setiap rumah yang sekaligus memberi manfaat kepada penduduk luar bandar yang telah menanti lebih puluhan tahun untuk mendapatkan bekalan elektrik.
“Pelaksanaan Projek SARES Fasa 2 ini adalah kesinambungan kepada Fasa 1 yang melibatkan 43 kampung (Fasa 1A) dan 17 kampung (Fasa 1B) dengan keseluruhan memanfaatkan 1,429 isi rumah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan SARES Fasa 2, pada Isnin.
Tambah Julaihi lagi, bermula pada 2016, projek SARES telah menyediakan sistem jana kuasa solar dan mikro hidro untuk membekalkan elektrik kepada kampung terpencil yang sukar disambung dengan talian grid.
katanya, ia dilaksanakan di bawah Program BELB Bahagian Prasarana Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kontraktor pelaksana iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB) bertujuan meningkatkan keselesaan hidup dan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.
“Selain SARES yang dibiaya oleh Kerajaan Sarawak (RM640 juta) melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Kerajaan Persekutuan (RM200 juta) melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia (KKDW) projek bekalan elektrik luar bandar Sarawak juga dibekalkan melalui projek ALAF sebanyak RM315 juta yang dibiaya penuh oleh Kerajaan Sarawak,” jelasnya.
Dalam majlis yang sama, Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang menyerahkan projek berkenaan kepada anak syarikat SEB, Syarikat SESCO Bhd menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya Lau Kim Swee dengan disaksikan Dato Seri Julaihi Narawi.