More
    Home Sarawak Kuching 135 lagi isi rumah akan dipasang saluran paip gas di bawah projek...

    135 lagi isi rumah akan dipasang saluran paip gas di bawah projek QTC di Miri-Abang Jo

    KUCHING, 31 OKTOBER 2024: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan memasang saluran paip gas yang boleh dipercayai dan selamat kepada 135 lagi isi rumah berpendapatan rendah di Quadruplex Taman Ceria (QTC), Permyjaya di Miri, bagi fasa kedua.

    Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek QTC ini sedang berjalan dengan baik dan dijadualkan siap menjelang 2025.

    “Apabila projek tersebut selesai dilaksanakan, ia diyakini memberi manfaat kepada lebih 3,000 isi rumah di kawasan itu dan kita lihat contoh pada Februari lalu, PETROS telah berjaya menyelesaikan fasa pertama projek ini kepada 13 isi rumah.

    “Saya berbesar hati memaklumkan bahawa PETROS menanggung semua kos pemasangan yang diperlukan untuk menghantar gas terus ke dapur anda. Syabas kepada pasukan PETROS atas pencapaian ini,”katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun PETROS yang ke-7, bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Rabu.

    YAB Premier ketika merasmikan Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-7 PETROS-UKAS

    Dalam ucapan sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memberitahu, PETROS juga akan melancarkan inisiatif baharu yang bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan di Sarawak.

    “Inisiatif ini merangkumi program yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti kurikulum yang menyeluruh, yang tidak hanya menekankan kemahiran praktikal tetapi juga latihan mental serta panduan kerjaya.

    “Tujuannya adalah untuk memastikan pelajar lebih bersedia dan sesuai untuk memasuki pasaran kerja, sekaligus memenuhi keperluan industri di Sarawak,”jelas beliau.

    Terdahulu semasa berucap, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo menyatakan bahawa sambutan ulang tahun ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian penting PETROS, malah mengukuhkan komitmennya untuk memacu pertumbuhan mampan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak.

    “Ini termasuk sumbangan dalam sektor kesihatan, projek infrastruktur, serta pelancaran program PETROS ‘Train and Place’ yang bertujuan untuk membangunkan bakat tempatan dalam sektor tenaga,”ujarnya.

    Turut hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas; Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Premier Sarawak; Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan; Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah; Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi SAINS; Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS; Dato Janin Girie-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching akan menjadi nilai tambah daya...

    0
    KUCHING, 25 DISEMBER 2024: Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan...