KUCHING, 22 MAC 2022 (SNN) : Sebanyak 13 kertas kerja teknikal bakal dibentang pada Persidangan Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang akan diadakan pada 31 Mac 2022 hingga 01 April 2022 bertempat di Hotel USCI Kuching.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Datuk Julaihi Narawi berkata, persidangan yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dihadiri seramai 260 deligasi dari pelbagai jabatan seluruh Sarawak.
“260 deligasi yang akan terlibat sama adalah dari pelbagai jabatan dan beberapa bahagian di kementerian MUT serta jabatan-jabatan dan agensi yang menyediakan kemudahan utiliti melibatkan bekalan air dan elektrik di Sarawak, bekalan gas dan juga telekomunikasi seluruh negeri.
“Kita dapati dalam menyediakan kemudahan air, bekalan elektrik, gas dan telekomunikasi di seluruh sarawak, kita berdepan dengan banyak cabaran dan isu yang kita hadapi. Oleh itu, ianya perlu ditangani dengan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat sama ada di kementerian kami di peringkat Sarawak, di kalangan jabatan dan agensi yang berkaitan,” katanya dalam sidang media mengenai Persidangan Utiliti dan Telekomunikasi 2022 di Imperial Hotel pada Isnin.
Bertemakan ‘Challenges and The Way Forward in Providing Utilities an Telecommunications in Sarawak by the year of 2030’, persidangan itu akan menampilkan 13 kertas kerja teknikal yang bakal dibentangkan oleh agensi kerajaan masing-masing.
Antara agensi yang terlibat dalam pembentangan tersebut adalah Sarawak Energy Berhad (SEB), Petroleum Sarawak (PETROS), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Survei.
“Tujuan mengadakan persidangan ini adalah bagi berkongsi maklumat mengenai usaha menyediakan bekalan air, elektrik, gas dan telekomunikasi di Sarawak selain menyelaras semua agensi berkaitan dalam usaha mencapai matlamat menyedia serta memberi perkhidmatan yang lebih efisen,” tegasnya.