KUCHING, 25 APRIL 2023 (SNN): Sejumlah 125 menara telekomunikasi ‘Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication’ (SMART) yang menggunakan teknologi ‘Multi-Operator Core Networks’ (MOCN) akan beroperasi menjelang musim perayaan Hari Gawai tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, 70 daripada jumlah tersebut sudah mula beroperasi pada musim perayaan Hari Raya Aidifitri ini manakala 55 menara SMART lagi dijangka akan dapat beroperasi menjelang perayaan Hari Gawai.
Jelasnya, kerja-kerja membina serta melengkapkan infrastruktur menara SMART di negeri ini kini dikendalikan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) di mana kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM1.89 bilion untuk mendirikan 600 menara seumpamanya secara dua fasa.
Menurutnya, ia merupakan langkah intervensi oleh kerajaan negeri untuk mempercepat serta melengkapkan usaha kerajaan Pusat dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Sarawak.
“Jadi apabila kerajaan Sarawak melakukan intervensi, kita menyediakan peruntukan sebanyak RM1.89 bilion bagi mendirikan sejumlah 600 menara SMART di seluruh negeri.
“Pada asalnya ia dikendalikan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan kemudiannya diserahkan kepada SDEC untuk mengendalikan kedua-dua fasa.
“Pembinaan menara ini mengambil masa sekitar 18 bulan dengan sembilan bulan pertama adalah untuk mendirikan infrastuktur menara sehingga siap dan sembilan bulan seterusnya adalah untuk memasang kelengkapan telekomunikasi bagi membolehkannya mula beroperasi (On-Air),” katanya kepada pemberita semasa Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di sini pada Isnin.
Datuk Julaihi memberitahu, negeri ini memerlukan sekitar 7,000 menara telekomunikasi untuk mencapai liputan internet secara menyeluruh dengan lebih 50 peratus daripada jumlah tersebut kini telah dibina.
Katanya, ini selaras dengan hasrat kerajaan Sarawak untuk membangunkan enam sektor ekonomi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 di mana aspek Transformasi Digital merupakan salah satu daripada tujuh pemboleh ubah yang menyokong pembangunan sektor-sektor ekonomi yang disasarkan itu.
Sementara itu, beliau menegaskan, keberadaan sebuah menara telekomunikasi di sesuatu tempat tidak semestinya menjerus kepada keberadaan liputan telekomunikasi.
“Ini kerana terdapat menara yang berfungsi sebagai medium (repeater) untuk menyampaikan maklumat dari satu menara ke menara yang lain. Jadi kita kena memahami perkara ini,” jelasnya lagi.-UKAS.