SERIAN, 21 JULAI 2023 (SNN): Sebanyak 12 projek bekalan air melibatkan peruntukan berjumlah RM219.7 juta di Bahagian Serian telah siap sepenuhnya manakala dua lagi projek bekalan air yang masih dilaksanakan bernilai RM18.9 juta di bahagian tersebut.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, keseluruhan pelaksanaan projek infrastruktur bekalan air di Bahagian Serian menepati jadual yang telah ditetapkan.
“Difahamkan, terdapat lebih 35,000 pemegang akaun bekalan air di Bahagian Serian direkodkan di bawah JBALB bagi mengatasi masalah kadar air tidak terhasil (NRW).
“Secara keseluruhan kadar permintaan air kini yang dikendalikan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Serian ialah 77.5 juta liter sehari (MLD).
“Hari ini saya mengadakan lawatan kerja ke tapak Loji Rawatan Air Slabi di Serian yang merupakan loji utama membekal air terawat di Bahagian Serian yang dikendalikan oleh JBALB yang mana loji ini mempunyai kapasiti 110 MLD tetapi setakat ini beroperasi untuk menghasil air terawat 70 MLD selain membekal juga air ke kawasan Gedong, Simunjan dan Samarahan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Slabi, Serian pada Khamis.
Datuk Julaihi menambah, penduduk di Bahagian Serian juga mendapat bekalan air terawat daripada Loji Rawatan Air di Balai Ringin yang berkapasiti 2.2 MLD, Loji Rawatan Air di Tapah yang membekal 5 MLD kepada pengguna di Bahagian Serian.
Dalam pada itu, sebelum menijau Loji Rawatan Air Slabi, Datuk Julaihi dan rombongan telah diberi taklimat oleh Jurutera Air Bahagian Serian, Qairuniza Roslan.
Dalam sesi taklimat tersebut, beliau menasihatkan pihak JBALB supaya mengurus, meneliti dan menyelesai masalah kadar air tidak terhasil khususnya yang berpunca dari masalah “illegal tapping” dengan segera.
“Masalah itu dipercayai disebabkan tinggalan kerja Lebuh Raya Pan Borneo yang perlu diselesaikan segera juga dengan pihak Unit Pan Borneo JKR Sarawak,” ujarnya lagi.
Turut hadir dalam rombongan tersebut ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah; Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Untiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak; Martin Ben, Ahli Parlimen Serian; Dato Sri Richard Riot, Ahli Parlimen Puncak Borneo; Datuk Willie Mongin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja; John Ilus, ADUN Tebedu; Dr. Simon Sinang Bada dan Pengarah JBALB; Ir Chang Kuet Shian.-UKAS