KOTA KINABALU, 27 DISEMBER 2024: Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof pada September lepas dilaporkan berkata 11 tuntutan di bawah platform rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan untuk Sarawak dan Sabah.
Memetik laporan BERNAMA, Dato Sri Fadillah dalam kenyataan itu memberitahu, tujuh daripadanya telah diselesaikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Dato Seri Anwar Ibrahim.
“Tuntutan berkenaan antaranya melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
“Penyelesaian turut merangkumi tuntutan berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak,” kata kenyataan itu lagi.
Apa yang menjadi perhatian pihaknya juga adalah pengumuman Anwar mengenai cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar Pemberian Khas Sabah dan Sarawak kepada RM600 juta pada tahun hadapan ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober lepas.
Dalam pada itu, laporan berita tersebut turut menyatakan persediaan Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 yang semakin menghampiri.
Difahamkan, isu tempatan dijangka menjadi tumpuan dan bahan kempen pada PRN Sabah nanti terutama melibatkan pengurusan pendatang tanpa izin, peningkatan kos sara hidup, kemiskinan dan pembangunan dengan isu terhangat dijangka berkaitan pematuhan MA63.
Kerjasama erat kerajaan Sabah dan Persekutuan ketika ini telah memberi perkembangan positif dalam pelaksanaan apa terkandung dalam MA63 itu tahun ini malah di bawah Kerajaan Perpaduan banyak isu legasi yang membelenggu usaha pelaksanaan itu berjaya diselesaikan dalam masa singkat-BERNAMA