MUKAH, 08 MAC 2022 (SNN) : Tanah seluas 105 hektar milik Lembaga Amanah Kebajikan Islam Igan di kawasan Igan dalam perancangan untuk dibangunkan dengan program pertanian moden di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) bersama Sukip Farming.
Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsmen Datuk Dr Juanda Jaya berkata, tujuan program ini diperkenalkan adalah bagi membantu 100 keluarga dari golongan B40 di kawasan Igan melalui program pertanian terancang dan ilmu pertanian moden yang bermanfaat.
“Ini merupakan perancangan besar kita untuk membantu mengatasi masalah kemiskinan luar di bandar dengan menerapkan mereka dengan ilmu pertanian moden.
“Melalui contoh yang telah dibuat oleh pihak Sukip Farming terutama bersama dengan peserta beliau di Jebungan ini adalah satu contoh bagaimana kita mampu membantu penduduk di kawasan luar bandar untuk meningkatkan hasil pendapatan utama dalam pertanian disamping memastikan mereka ada pendapatan sampingan,” katanya kepada pemberita dalam lawatannya ke ladang fertegasi Cili di Kampung Jebungan Mukah pada Ahad.
Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng menambah, usaha itu adalah bagi menyahut seruan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menjadikan Sarawak sebagai negeri pengimport utama produk serta hasil pertanian ke luar Sarawak.
“Pertanian moden ketika ini tidaklah seperti pertanian tradisional seperti satu ketika dahulu, kini para pengusaha mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan untuk memudahkan kaedah pertanian dari segi bantuan teknologi.
“Pengeluaran yang banyak mampu memenuhi pasaran tempatan dan juga boleh dieksport ke kawasan lain dan akhirnya secara tidak langsung dapat membantu mempertingkatkan sosioekonomi penduduk di sini,” ujarnya lagi.