SEBUYAU, 07 JULAI 2022 (SNN): Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’ diadakan pada 4 hingga 5 Julai di Masjid Baharu Sebuyau.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi yang hadir menyempurnakan majlis tersebut berkata, program itu adalah untuk memupuk semangat membudayakan Al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, ia juga dapat menjadi platform pembentukan sahsiah dan jati diri dalam membentuk generasi yang mampu memimpin negara pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Brahim Lumpu berkata, Tilawah Al-Quran ini merupakan majlis tilawah yang terakhir untuk Bahagian Samarahan serta mencari wakil untuk pertandingan tilawah peringkat negeri, di mana Daerah Sebuyau telah terpilih menjadi tuan rumah.
Untuk rekod, seramai 12 peserta terlibat dalam majlis tilawah Al-Quran kali ini dan Muhammad Hafiz Shafie telah dinobatkan sebagai Juara Qari dan Fasihah Arpa Qariah dari Asajaya bagi Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan dengan membawa wang tunai berjumlah RM2,000 serta hadiah.
Bercakap mengenai kebarangkalian dinaikkan tarif elektrik atau tidak di Sarawak, Julaihi menegaskan kerajaan negeri buat masa ini belum ada sebab muhasabah untuk menaikkan tarif elektrik Sarawak kerana kita masih menggunakan tenaga hijau seperti hidro dan solar yang mana ia pasti akan menambahkan beban rakyat jika berbuat demikian.
“Jika nak dibandingkan tarif elektrik yang dikenakan di Sarawak dengan tempat lain kita dapat mengatakan bahawa kadar caj elektrik disini lebih murah dan setakat ini tidak ada lagi perancangan untuk menaikkan tarif elektrik.
“Oleh itu, rakyat tidak perlu gusar dengan kebimbangan kenaikan tarif elektrik di Sarawak,” tegasnya.